Tuesday, January 20, 2009

Lelaki....

Assalammualaikum,

Aku belum pernah menemukan, halusnya naluri seorang lelaki. Lembutnya perasaan insan yang egonya setinggi langit yang ketujuh itu. Aku juga belum pernah merasa, cemburu menguasai diri. Tatkala berdampingan dengan khalifah Bumi ciptaan Yang Esa ini, belum sekelumit pun aku merasa bimbang akan rakusan tangan-tangan kaum sejenisku menarik diri si lelaki pergi dari diriku.

Belum pernah lagi, tidur malamku terganggu, belum pernah lagi siang hariku menjemput risau dan gelisah... Sungguh aku merasa bebas, kerana aku tidak terbeban dengan rasa ketakutan pada sebuah kehilangan...

Namun aku akui, lewat detik-detik ini... aku sering merasa memerlukan seseorang. Terlalu memerlukan! Kata orang, hidup adalah untuk saling lengkap melengkapi. Ternyata, keinginan untuk melengkapi hidupku itu membuatkan aku menjadi pemaksa!

Aku sudah mula belajar erti bimbang. Aku sudah mula merasa tempias mahu mengongkong. Entah mengapa, semakin hari aku semakin takut akan hakikat sebuah kehilangan.

Mujur jua - engkau - seorang yang bergelar lelaki... lantas memeluk dan menenangkan aku. Engkau menanam kata-kata semangat dan luahan cinta yang sentiasa berlarutan dan tidak pernah kering. Walau ku tahu, kadang kala riak ketidaksenangan terpancar di wajah dan hatimu, namun sebagai lelaki, engkau sentiasa menyokongku.

Maafkan aku, lelaki...
Lewat karenahku menginginkan perhatian dan kasih sayang darimu. Aku tahu kau mencintaiku. Tetapi naluri kewanitaan yang sentiasa mendambakan belaian dan manjaan darimu membuatkan aku menjadi begitu.

Lelakiku,
Detik air mata lelakimu mengalir lesu membasahkan pipimu itu, segala perasaan bercampur baur mengocak di dalam hatiku. Runtuh dan luluh tembok cemburuku.... kerana aku tahu, hanya namaku yang terukir di tugu hatimu... Hancur kesangsian di hatiku, kerana aku sedar cintamu utuh untukku...

Senyumlah sayang...
Kerana lantaran air mata lelakimu itulah, aku kini sudah mula belajar. Berkongsi tidak bermakna memiliki sepenuhnya. Mencintai tidak bermakna bisa mengongkong. Kita masih perlu ruang kosong untuk mengisi rahsia milik hidup kita, walau di antara kita sudah berikrar segala susah dan senang harus dikongsi bersama.

Lelakiku,
Masa dan ketika akan menentukan... Jambatan pertalian ini akan menuju ke penghujungnya. Di sana nanti, akan tersergam mahligai bahagia kita berdua, untuk menempuh kehidupan yang lebih bermakna...

Lelakiku,
Terima kasih kerana...
Engkau bukan sahaja hanya mengatakan
Tetapi engkau juga mengotakan
Kesetiaan dan pengorbanan
Yang engkau pahatkan dalam ikatan ini

Terima kasih
Kerana menerima aku seadanya
Dan mencintai aku kembali seadanya....

Nashya Ariff
Ward 515
Ampang Putri

1 comment:

Unknown said...

Ku harap kan ku temui lelaki itu jua wahai kak Nasya... Sob2... Bestnyer..