Tuesday, October 7, 2008

Salam Idul Fitri

Assalammualaikum...

Setahun berlalu... Ramadhan muncul membawa makna yang baru. Perginya Rejab, berlalunya Syaaban... sebulan menahan segala godaan di siang hari. Tiba Syawal menggamit seribu kerinduan. Pada orang yang telah tiada... pada kenangan yang semakin memudar... pada impian yang tidak kesampaian...

Takbir berkumandang di malam penuh syahdu... Tanpa sedar, air mata mengalir di pipi... Kata orang, di kala bergemanya takbir di segenap pelusuk bumi, roh-roh yang pulang menjenguk kerabat yang masih bernyawa terpaksa melangkah pilu kembali ke persemadian abadi. Wallahu 'alam sejauh mana kebenarannya, aku tak tahu.

Kala ini, aku terbayang kemesraan yang terjalin sejak sekian lama... yang akhirnya terputus sebelum ajal menjemputnya pergi. Takdir menentukan itu suratan di antara kami. Perpisahan yang kekal. Demi Tuhan yang mencipta sekelian alam, tiada sekelumit dendam dalam hati aku yang harus aku tuntut darinya di akhirat kelak.

Biarlah dia pergi dengan aman... Biarlah rohnya bersemadi di kalangan Habibullah yang mana tempatnya adalah di puncak yang tertinggi.

Terlalu banyak wajah-wajah yang menjadikan kerinduan semakin mencengkam di sanubari ini. Wajah berkedut yang menyimpan sejuta kasih sayang... walau tanpa bicara, tapi cinta yang tidak terbatas terpancar dari sinar matanya... Hampir sepuluh tahun kaki aku melangkah tanpa dia di sisi. Terkenang lagi omelan-omelannya yang saban waktu membingit telinga.. namun bila irama itu hilang, ibarat senandung yang pincang alunan sayunya.

2008,
Aidil Fitri yang ketiga puluh tahun buat aku. Masih sendiri, mencari dan mengenal peribadi diri. Aku patut bangga kerana di saat dan ketika ini, aku punya teman-teman yang sanggup bergembira dan bersedih denganku. Aku punya keluarga yang sedia menjadi bahuku tatkala aku rebah dan memimpin tanganku di kala aku mahu mengorak langkah. Aku punya kerjaya - walau tidak sehebat mana - tetapi aku berjaya berdiri di atas kakiku sendiri.

Lantas, apa lagi yang aku cari dalam hidup ini?

Erti sebuah cinta sejati...

Akankah ku temui?


No comments: